PAPAR, 15 Okt — Seorang lelaki berusia 27 tahun terselamat selepas kereta yang dipandunya terbakar sepenuhnya dalam kemalangan di hadapan Public Bank, Pekan Papar, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, Dahlan bin Jainudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi sebelum satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi telah terbakar 100 peratus selepas dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.
Mangsa berjaya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera FRT, sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.00 pagi dan operasi ditamatkan pada 3.28 pagi.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kawalan lalu lintas dan siasatan lanjut.
Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan bin Osman turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
TAMAT
