KEPELBAGAIAN BUDAYA KUKUHKAN PERPADUAN

sh@syamila salleh

LAHAD DATU (8 Jun): Perpaduan rakyat negeri ini mampu diperkukuhkan menerusi kepelbagaian budaya.

Presiden Parti Maju Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, Lahad Datu merupakan salah satu daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan mampu memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk lhususnya di kalangan komuniti Hindu India.

Beliau berkata, daerah itu memainkan peranan penting dalam mencerminkan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.

“Terdapat nilai budaya yang sangat signifikan, terutamanya bagi keluarga Hindu India yang telah lama menetap di daerah ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas upacara perasmian Kuil Sri Maha Mariamman Kovil di Ladang Layong pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik itu turut menyatakan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap komuniti tersebut.

“Kami berada di sini untuk menunjukkan sokongan kami. Kami sangat gembira melihat perubahan yang berlaku — perkara yang dahulunya tiada, kini semakin berkembang dan menyatukan masyarakat,” tambahnya.

Beliau juga menyentuh tentang semangat cinta dan kasih sayang yang harus terus dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Yang penting ialah kasih sayang dan persefahaman. Kita semua harus saling mencintai dan menghargai antara satu sama lain,” katanya lagi.

Yong turut menzahirkan penghargaan dan keyakinan bahawa keharmonian antara kaum dapat terus dikekalkan demi masa depan yang lebih bersatu padu.

TAMAT