LAHAD DATU, 20 Sept – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah berjaya mengutip hampir RM100 juta tunggakan gaji pekerja sepanjang lima tahun lalu di negeri ini.
Ia adalah hasil tindakan penguatkuasaan dan aduan yang diterima daripada orang ramai.
Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli bin Wan Setapa berkata, pada tahun 2024 sahaja, pihaknya telah berjaya mendapatkan kembali tunggakan gaji pekerja sebanyak RM38 juta melibatkan pelbagai sektor.
“Buruh paksa bukan sekadar kerja fizikal semata-mata, tetapi termasuk juga majikan yang tidak membayar gaji pekerja. Dalam kes sebegini, pekerja boleh membuat aduan kepada JTK dan kami akan memastikan hak mereka dituntut semula, walaupun tanpa dokumen lengkap pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outrech Kesedaran Komuniti Dalam Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Siri 5/2025 di Masjid Nurul Ibadah, Kampung Teck Guan, Jalan Segama, di sini hari ini.
Menurut beliau, meskipun pelbagai sesi penerangan telah diberikan kepada majikan, masih ada segelintir yang berdegil dan culas membayar gaji pekerja. Justeru, katanya, JTK akan memperbanyakkan lagi program kesedaran di peringkat akar umbi.
“Komitmen bersama amat diperlukan demi menjaga maruah dan hak asasi setiap insan tanpa mengira latar belakang. Usaha sebegini perlu diteruskan agar masyarakat lebih peka dan berani melaporkan sebarang bentuk eksploitasi,” tegasnya.
Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.61 Segama, Datuk Mizma binti Appehdullah.
Dalam ucapannya, Datuk Mizma menekankan isu buruh paksa yang melibatkan kanak-kanak di ladang sawit serta tawaran kerja luar negara melalui media sosial masih menjadi cabaran besar yang perlu diberi perhatian serius.
“Ramai yang terpedaya dengan tawaran gaji lumayan di luar negara, sedangkan ia sebahagian taktik sindiket pemerdagangan manusia. Program sebegini penting bagi memberi kesedaran kepada penduduk kampung agar tidak mudah terpengaruh,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dan berharap program itu dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan pengisian yang lebih menyeluruh.
Program anjuran JTK Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi penguatkuasaan ATIPSOM itu dihadiri kira-kira 120 penduduk kampung. Ia turut melibatkan ceramah dan taklimat daripada wakil PDRM, JIM dan JTK Sabah mengenai isu pemerdagangan orang dan buruh paksa, khususnya di kawasan pantai timur Sabah yang dikenal pasti sebagai laluan utama sindiket dari negara jiran.
TAMAT