sh@ Jalie Mohamad
SANDAKAN, 26 Julai 2025– Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Tang Szu Ching, menyambut baik usaha YB Wong Kah Woh memanjangkan isu kekurangan kemudahan di dua buah sekolah rendah di Sandakan.
Lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan itu, telah meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Papat 1 dan 2 di Sandakan baru-baru ini.
Lawatan ini turut disertai oleh Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee; Ketua Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Tuan Abdul Halim bin Haji Osman; serta Ketua PPD Sandakan, Datu Roslin Datu Siabok.
Timbalan Menteri itu turut diberikan taklimat menyeluruh oleh pihak pengurusan sekolah sambil melawat persekitaran sekolah bagi memahami cabaran fizikal dan logistik yang dihadapi oleh dua buah sekolah rendah yang berkongsi tapak kawasan sama.
Menurut Tang, keadaan semasa sangat sesak ketika kemuncak persekolahan menyebabkan lalulintas secara perlahan.
Lebih membimbangkan, pihak pengurusan SK Tanjung Papat 2 menjangkakan jumlah pelajar akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2035.
Ini sekali gus mengundang kebimbangan terhadap kemampuan infrastruktur sedia ada untuk menampung peningkatan tersebut.
“Keprihatinan dan komitmen Wong yang sanggup turun padang sendiri jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pendidikan di peringkat akar umbi, lebih-lebih lagi yang melibatkan hak pelajar dan kualiti pendidikan,” ujar Tang.
Sebagai langkah jangka panjang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan telah menyatakan komitmen untuk mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan sekolah baharu bagi mengurangkan beban prasarana sedia ada.
“Walaupun pelaksanaan projek sekolah baharu mungkin mengambil masa, saya memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak PPD Sandakan demi memastikan masa depan pendidikan anak-anak kita terus terpelihara,” katanya lagi.
Tamat