sh@ Syarmillah Salleh
TAWAU, 1 Sept – Himpunan solidariti menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di sini pada Ahad mencetuskan kekesalan apabila acara berkenaan dicemari dengan laungan serta slogan berunsur politik.
Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah), Ismail Sabran, berkata kehadiran orang ramai adalah untuk menzahirkan solidariti dan menuntut keadilan atas kematian tragis arwah Zara, bukannya mendengar ucapan bersifat politik atau menyerang tokoh tertentu yang tiada kaitan dengan insiden tersebut.
“Orang datang sebab mahu lihat pembuli direman, mahu wajah mereka dipaparkan, mahu tindakan tegas diambil terhadap warden dan pengetua atas kecuaian.
Tapi apa jadi? Sekali muncul pula nama Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman… Apa kaitan beliau dengan kes Zara?” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.
Beliau menegaskan himpunan sebegini harus kembali kepada asas, iaitu sebagai suara rakyat menuntut keadilan, dan bukannya dijadikan pentas mencipta naratif politik.
Menurutnya, orang ramai lebih mahu mendengar suara keluarga, khususnya golongan ibu, berbanding ucapan yang menyalahkan pihak tertentu secara umum.
“Kenapa tidak beri ruang kepada golongan ibu untuk berucap? Orang ramai hadir sebab simpati, sebab mahu dengar suara mereka. Tapi pentas diisi dengan ucapan menyalahkan ‘orang kaya’ dan ‘orang politik’. Ini bukan caranya,” tegasnya.
Ismail turut membandingkan beberapa program solidariti lain yang disertainya di Kunak, Perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (29 Ogos) dan di Kompleks Sukan (30 Ogos) yang menurutnya berlangsung dengan tertib tanpa elemen politik serta mengekalkan fokus tuntutan keadilan.
“Kita tidak menolak usaha solidariti, tapi jangan jadikan pentas penderitaan ini sebagai gelanggang politik. Hormatilah kesedihan dan kemarahan rakyat,” ujarnya.
TAMAT

