SYARMILAH SALLEH
KOTA KINABALU (9 MEI):Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa parti-parti tempatan perlu menjadi tonggak utama kepada kerajaan negeri Sabah.
Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji NOOR, berkata prinsip asas yang dipegang GRS ialah bahawa kerajaan negeri Sabah harus dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengenepikan peranan parti nasional dalam kerjasama yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, GRS memperjuangkan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan negeri itu. Kerajaan Negeri yang ada hari ini, katanya, perlu terus diperkukuhkan kerana ia menyumbang kepada kestabilan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat akar umbi,” tambah beliau.
GRS turut memaklumkan akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Perbincangan rasmi bersama parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa juga akan diadakan bagi mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.
TAMAT

