Dua Remaja Ditemui Meninggal Dunia di Kawasan Bandar Sejati Walk

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 11 Januari – Dua remaja lelaki dan perempuan ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan Bandar Sejati Walk, Batu 7 di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 8.26 pagi sebelum sepasukan anggota bersama Unit Forensik IPK Sabah bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa masing-masing berusia 18 dan 17 tahun, dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih. Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan,” katanya.

Menurutnya, semua tingkap kenderaan didapati tertutup rapat dan berkunci, manakala tiada kehilangan barang berharga dilaporkan.

Siasatan awal turut mendapati kedua-dua mangsa gagal dihubungi ahli keluarga sejak Jumaat lalu sebelum bapa salah seorang mangsa menemui kenderaan tersebut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan dan setakat ini tiada unsur jenayah dikenal pasti,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sementara siasatan lanjut masih dijalankan.

TAMAT

Share This Article