DUA MAUT, SEORANG CEDERA DALAM NAHAS DUA KENDERAAN DI JALAN KIMANIS-KENINGAU

sabahheadlines
2 Min Read

KIMANIS, 23 APRIL – Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Anwar Bahrin berkata, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia dan Proton Saga yang dilaporkan bertembung.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa terlibat dalam insiden berkenaan dengan dua lelaki yang juga pemandu kenderaan masing-masing didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’.
Namun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu seorang wanita berusia 52 tahun yang merupakan penumpang Perodua Axia mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.

Operasi yang turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM itu berjaya dikawal pada jam 12.20 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya 10 minit kemudian setelah disahkan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai lelaki berusia 61 tahun yang memandu Perodua Axia dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang memandu Proton Saga.

Share This Article