DUA MAUT SELEPAS KERETA TERJUN GAUNG

PENAMPANG: 29 Mei – Dua lelaki maut dan seorang cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Jalan Penampang-Tambunan, berhampiran Kampung Moyog, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan bahawa, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 malam menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 28 kilometer.

Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

Setiba di lokasi kejadian kira-kira jam 8.57 malam, pasukan bomba segera menjalankan operasi menaikkan ketiga-tiga mangsa dari gaung.

Salah seorang mangsa, lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum diserahkan kepada ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk dihantar ke hospital.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang dipercayai berusia 49 tahun dan seorang lagi dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat yang turut dibantu anggota polis, ambulans KKM dan PBSM itu tamat sepenuhnya pada jam 10.37 malam.

Tamat