KOTA BELUD, 25 Okt – Dua lelaki dilaporkan terperangkap di tepi laut ketika memancing di Kampung Sarang dekat sini petang Sabtu selepas kawasan berkenaan dinaiki air laut pasang dan berombak kuat.
Mangsa dikenali sebagai Benyamir Jainis dan Chalster Stebon masing-masing berbangsa Dusun difahamkan keluar memancing sebelum terperangkap apabila paras air laut meningkat secara mendadak.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 pada jam 10.21 malam memaklumkan kejadian tersebut.
“Seramai empat anggota APM digerakkan ke lokasi menggunakan kenderaan jenis Hilux Revo untuk membuat pemantauan awal di kawasan Kampung Sarang pada jam 11.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada ahad.
Katanya, pasukan Skuad Delta turut tiba di lokasi sekitar 12.07 tengah malam (Ahad) bagi meninjau kawasan rumah keluarga serta lokasi terakhir mangsa berada.
“Setakat jam 2 pagi kedua-dua mangsa masih dilaporkan terperangkap akibat keadaan laut bergelora dan tiada liputan telefon di kawasan berkenaan.
“Paras air laut dijangka surut sekitar jam 3 pagi,” katanya.
Tambahnya lagi, keadaan laut yang berombak menyukarkan pasukan penyelamat menggerakkan bot ke lokasi.
Operasi menyelamat turut disertai tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lapan penduduk kampung, menjadikan kekuatan keseluruhan 16 orang di lapangan.
Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum dapat dihubungi dan usaha menyelamat sedang diteruskan oleh pasukan penyelamat.
TAMAT

