KOTA KINABALU: 23 Okt – Dua lelaki cedera selepas sebuah rumah atas air jenis tidak kekal roboh di bahagian belakang berhampiran Masjid Al-Kauthar, Kampung Tanjung Aru Lama di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dengan kekuatan 10 anggota diketuai PBK I Christy Foo bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 3 kilometer.
Menurut Komander Operasi, rumah berkeluasan kira-kira 25×40 kaki itu roboh di bahagian belakang yang berasaskan konkrit.
Insiden itu menyebabkan dua penghuni lelaki berusia 44 tahun mengalami kecederaan.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan pada tulang belakang dan sesak nafas manakala seorang lagi cedera ringan dengan luka di bahagian kepala serta kaki,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Turut berada di lokasi Pegawai Kanan Zon 1 Sabah, PKPgB Mohd Rashid Daud dan PPgB Riki Mohan Singh Ramday bersama kehadiran anggota KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu operasi.
Pasukan Bomba turut melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada bahaya susulan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.22 pagi.
TAMAT

