BILANGAN MANGSA BENCANA DI SABAH MENURUN, 14 MAUT SEJAK 12 SEPTEMBER

KOTA KINABALU, 20 Sept – Jumlah mangsa bencana yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah terus menunjukkan penurunan, dengan 892 orang daripada 273 keluarga masih berlindung di tiga daerah terjejas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sehingga jam 4.00 petang ini, tiga daerah yang masih menempatkan mangsa ialah Penampang, Membakut dan Papar.

Di Penampang, seramai 303 mangsa masih berlindung di tiga PPS susulan banjir dan kejadian tanah runtuh. Membakut pula menempatkan 390 mangsa di beberapa PPS, manakala Papar merekodkan 199 mangsa yang masih terjejas.

Sementara itu, dua PPS di Membakut iaitu Dewan Masyarakat Bongawan dan SMK Membakut telah ditutup sepenuhnya pada jam 3.00 petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, JPBN Sabah mengesahkan 14 kematian direkodkan sejak bencana melanda negeri ini pada 12 September lalu. Angka korban melibatkan kejadian tanah runtuh di Penampang, Kota Kinabalu, Papar serta banjir di Keningau.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah memaklumkan, pemantauan rapi masih dijalankan di kawasan berisiko terutama di daerah yang kekal menempatkan mangsa.

TAMAT