BEKAS PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL DIPENJARA 30 TAHUN, 12 TERTUDUH LAIN MENANTI PENGAMPUNAN TYT

TAWAU, 28 Ogos 2025 -Tragedi pembunuhan pelajar berusia 17 tahun di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu tahun lalu berakhir dengan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang bekas rakan sekolejnya.

Keputusan itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Tawau ke atas seorang tertuduh yang kini berusia 20 tahun.

Manakala 12 lagi tertuduh yang terlibat dalam kes sama diperintah menjalani hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut seksyen 97(2)(b)Akta Kanak- Kanak 2001.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu di sini hari ini.

Mahkamah mengambil kira faktor usia kesemua tertuduh yang ketika kejadian berumur antara 16 hingga 19 tahun, selain meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, ditemui meninggal dunia dengan 102 kesan lebam, lima luka melecet serta tanda-tanda mempertahankan diri di bilik asrama kolej berkenaan antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Jhun Tao manakala Asisten Superintendan Suddin Tjinke bertindak sebagai pegawai penyiasat.

TAMAT