sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU; 11 OGOS 2025 (Isnin) – Seorang bapa menafikan dakwaan yang mengaitkan anaknya, Nurul Qurratu Aini Muhammad Yasim, dengan kes Allyarhamah Zara Qairina Mahathir yang tular di media sosial baru-baru ini.
Muhammad Yasim berkata, satu laporan polis telahpun dibuat terhadap akaun di media sosial atas sebab memuat naik gambar dan video anaknya itu.
Dalam video itu anaknya kelihatan berbaju merah jersi pasukan bola sepak Sabah.
Mohammad Yasim berkata anaknya itu memang pernah bersekolah di sekolah menengah terbabit dari 2022 hingga 2024 ketika di tingkatan Satu hingga tingkatan Tiga.
“Pada awal tahun 2025, anak saya mendapat tawaran dan berpindah ke Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) dan sehingga kini masih bersekolah di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan saman sivil terhadap mana-mana individu yang mengaitkan anaknya dengan kes tersebut.
“Meskipun pihak terbabit telah memohon maaf dan memadamkan video tersebut, masih terdapat individu lain yang terus menyebarkan berita palsu berkenaan.
“Saya berharap semua pihak memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkan atau menjadikannya tular,” tegasnya.
TAMAT

