sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 6 Ogos 2025 – Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut mahu membunuh bapa kandungnya dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Azizan Azman Lee,33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap bapanya di rumah mangsa pada 30 Julai lalu kira-kira jam 6.15 petang dengan mengamuk dan memegang parang sambil mengeluarkan kata-kata ancaman.
Ketika kejadian, tertuduh dikatakan berkata “Aku selasing daddy” (aku bunuh daddy) yang menyebabkan mangsa ketakutan memandangkan tertuduh mempunyai sejarah kesalahan sama sebelum ini.
Kejadian itu turut disaksikan cucu mangsa yang berada di lokasi.
Siasatan mendapati punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati apabila tertuduh mengetahui gitar yang diberikan kepadanya oleh mangsa telah dipinjamkan kepada cucu mangsa yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Kota Kinabalu.
Hasil ujian air kencing mendapati tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, selain mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Sitti Zubaeda Haji M Kasim, manakala mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.
TAMAT

