KOTA KINABALU, 29 Januari – Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam merangka hala tuju pembangunan sektor pelancongan negeri.
Sesi pertemuan yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Jafry Ariffin, itu menumpukan perbincangan terhadap penyaluran input bagi pelaksanaan SMJ 2.0, khususnya melibatkan pembangunan produk dan tarikan pelancongan berimpak tinggi serta pendekatan meningkatkan hasil negeri menerusi industri pelancongan.
Perbincangan turut menyentuh keperluan penyelarasan dasar dan pelaksanaan inisiatif secara bersepadu antara agensi bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya saing dan mampan.
Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah YBhg Datuk Josie Lai, Setiausaha Tetap KePKAS serta YBhg Datuk Raime Unggi, Setiausaha Politik kepada Menteri KePKAS. Sementara itu, Sekretariat SMJ diwakili oleh YBhg Datuk Datu Haji Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pegawai Penyelaras SMJ; YBhg Datuk Ramlee Kariah, Ketua Pegawai Operasi SMJ, serta beberapa pegawai kanan sekretariat.
TAMAT
