KUALA LUMPUR, 26 Jan – Kerajaan Persekutuan akan melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) pada 28 Januari ini di Parlimen Malaysia sebagai langkah memperkukuh ketelusan serta pemantauan pelaksanaan tuntutan berkaitan MA63.
Majlis pelancaran berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Fadillah Yusof.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud, jemputan rasmi kepada Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen telah diedarkan sebagai mencerminkan komitmen Kerajaan Madani menjadikan MA63 sebagai agenda nasional dan tidak terhad kepada Sabah serta Sarawak semata-mata.
Beliau berkata, bermula 28 Januari, rakyat Malaysia boleh mengakses maklumat sahih berkaitan 29 tuntutan utama MA63 melalui dashboard berkenaan tanpa dipengaruhi bias politik atau ketidaktepatan maklumat.
Dashboard MA63 boleh diakses menerusi portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri.
TAMAT
