Video Buaya Tular: Polis Sahkan Ladang Penternakan Berlesen

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 13 Jan-Polis Daerah Penampang menjalankan pemeriksaan susulan penularan satu klip video berdurasi satu minit yang memaparkan habitat buaya dan tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton berkata, pemeriksaan itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung video berkenaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

“Bertindak atas maklumat tersebut sepasukan anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah ladang penternakan buaya di kawasan Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati ladang berkenaan beroperasi secara sah serta memiliki lesen penternakan dan lesen jual beli daging buaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Sehubungan itu, polis memaklumkan bahawa video klip yang tular dipercayai dirakam berhampiran sebuah ladang penternakan buaya berlesen dan beroperasi secara sah.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Selain itu mengingatkan supaya hanya menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.

IPD Penampang turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article