BEAUFORT, 10 Jan – Seramai 364 penduduk daripada 136 Ketua Isi Rumah (KIR) masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Beaufort setakat jam 4 petang hari ini, susulan kejadian banjir yang masih belum surut sepenuhnya.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC) di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah penduduk terjejas menunjukkan peningkatan berbanding hari sebelumnya, membabitkan 11 kampung di daerah berkenaan.
Dua PPS yang masih beroperasi ialah Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon yang menempatkan 326 mangsa daripada 121 KIR, serta Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit yang menempatkan 38 mangsa daripada 15 KIR.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa, seramai 116 lelaki dan 87 perempuan dewasa, manakala 87 kanak-kanak dan bayi direkodkan berada di PPS, dengan keutamaan diberikan kepada golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat bencana banjir di daerah Beaufort, dan pihak berkuasa juga mengesahkan tiada penduduk terjejas yang terperangkap di luar PPS.
JPBN Sabah memaklumkan, pemantauan berterusan dilakukan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Beaufort bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas serta kelancaran pengurusan PPS.
Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
TAMAT
