KINABATANGAN, 10 Jan – Kesemua lima calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tampil dengan pendekatan serta tawaran tersendiri kepada pengundi sejurus proses penamaan calon selesai pagi tadi di Dewan Sri Lamag.
PRK kali ini menyaksikan persaingan satu lawan satu bagi kerusi DUN Lamag, manakala pertembungan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, sekali gus menjadikan kempen pilihan raya medan kepada pertembungan strategi, idea dan janji untuk membawa perubahan kepada rakyat.
Bagi kerusi DUN Lamag, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ismail Ayob (Miha) berkata persaingan satu lawan satu antara BN dan Parti Warisan merupakan perkara lumrah dalam politik dan mencerminkan kematangan demokrasi.
“Sudah tentu ini adalah satu persaingan yang sihat dan juga perayaan demokrasi. Ini memerlukan masing-masing turun berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional di Lamag,” katanya.
Sementara itu, bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, calon BN Naim Kurniawan Moktar mengakui pengaruh bapanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih kuat di peringkat akar umbi.
“Saya akui pengaruh beliau memang ramai. Namun dengan strategi yang betul, cara yang benar dan keikhlasan yang ditunjukkan, saya yakin insya-Allah sokongan akan berpihak kepada Barisan Nasional,” katanya.
Bagi Parti Warisan pula, calon Parlimen Kinabatangan Datuk Saddi Abdul Rahman menegaskan misi utama beliau adalah untuk mengubah status dan imej daerah Kinabatangan yang sekian lama dikaitkan dengan kemunduran.
“Matlamat kita adalah untuk mengangkat dan menukar status daerah Kinabatangan daripada dilabel sebagai daerah termiskin di Malaysia. Kita mahu jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang stabil serta tidak terputus-putus,” katanya.
Dalam perkembangan sama, calon Parti Warisan bagi DUN Lamag, Mazliwati Abdul Malek Chua, ketika ditanya mengenai kekuatan lawannya yang aktif mendekati golongan belia, menegaskan perkara itu tidak dilihat sebagai satu ancaman.
“Ia bukan satu ancaman. Kami hanya perlu mendekati kumpulan pengundi dengan pendekatan yang berbeza,” katanya.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dijadualkan berlangsung pada 24 Januari ini, dengan tempoh kempen rasmi bermula sejurus tamat proses penamaan calon hari ini.
Oleh: Syarmilah Salleh
