KOTA BELUD, 2 Januari 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menghadiri Majlis Kesyukuran dan Sambutan Tahun Baharu anjuran Gereja Seventh-day Adventist (SDA) di Kampung Gaur dan Kampung Narinang, di sini.
Dalam lawatan tersebut, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, turut menyalurkan bantuan kepada komuniti setempat serta meninjau keperluan pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kehadirannya ke program sambutan Tahun Baharu SDA di Kampung Gaur merupakan satu tradisi yang telah diamalkan sejak sebelum beliau dipilih sebagai wakil rakyat Kadamaian, dan diteruskan sebagai tanda sokongan berterusan kepada masyarakat setempat.
“Saya gembira kerana beberapa keperluan pembangunan gereja dan Sekolah Adventist di kawasan ini berjaya direalisasikan, termasuk pemasangan 13 unit penghawa dingin hasil peruntukan yang disalurkan tahun lalu,” katanya.
Beliau turut berharap agar seluruh jemaat dan komuniti terus dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta kejayaan dalam pelbagai urusan sepanjang tahun ini.
Pada majlis tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian berjumlah RM5,000 kepada Sekolah Rendah Adventist Gaur serta RM2,000 kepada Gaur Adventist Community bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Seterusnya, beliau menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu SDA di Kampung Narinang dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menggantikan kerusi kayu sedia ada di gereja tersebut agar lebih selesa dan selamat digunakan.
Dalam lawatan yang sama, Ewon turut meninjau keadaan jambatan gantung Kampung Narinang–Kampung Botung yang mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan segera.
Menurutnya, pembinaan baharu jambatan gantung menggunakan bahan fiber telah mula dilaksanakan di kawasan Kadamaian sejak tahun 2024, dan peruntukan akan disalurkan bagi membolehkan jambatan di Kampung Botung dibaik pulih menggunakan bahan yang lebih selamat dan tahan lama.
Selain itu, beliau turut mengunjungi saudara Jumah dan keluarga di Kampung Bundu Paka bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian ibu tercinta beberapa hari lalu, selain mendoakan agar keluarga berkenaan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
TAMAT
