TAMPARULI: Daerah Kecil Tamparuli wajar dan perlu segera dinaik taraf kepada Daerah Penuh bagi memastikan perancangan pembangunan yang lebih tersusun serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, daerah kecil itu telah memenuhi kelayakan asas termasuk memiliki bangunan urusetia lengkap dengan Dewan Mini Serbaguna serta diurus tadbir oleh seramai 36 kakitangan termasuk empat kakitangan Persekutuan.
Menurutnya, penambahan kakitangan tidak diperlukan buat masa ini kecuali pelantikan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran).
“Daerah Kecil Tamparuli mempunyai populasi seramai 43,989 orang dengan jumlah pengundi mencecah 26,767 orang.
Dari segi keluasan pula, ia meliputi kawasan seluas 499 kilometer persegi melibatkan 71 kampung berdaftar serta tiga pekan iaitu Pekan Tamparuli, Pekan Tenghilan dan Pekan Topokoon,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan Pelan Tempatan turut menyebabkan pembangunan tidak terancang termasuk pemberian lesen perniagaan kepada empat ladang khinzir dan 14 ladang ayam tanpa merujuk kepada pelan pembangunan (Development Plan), selain isu pelesenan oleh Jabatan Veterinar.
Dalam masa sama katanya, penduduk turut terjejas akibat gangguan bekalan air berikutan penutupan Loji Rawatan Air Telibong Satu yang dilaporkan berlaku hampir setiap dua minggu.
Sehubungan itu, Wilfred menegaskan usaha menaik taraf status daerah berkenaan perlu dipercepatkan dengan mengambil kira kepentingan keterjaminan makanan, peluang pekerjaan serta keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Bagi tujuan tersebut, beliau bersama Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Puan Hanevy Harry serta wakil Pusat Khidmat ADUN Tamparuli dan Pusat Khidmat Parlimen P.170 Tuaran telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah baru- baru ini.
“Kami memohon IDS menjalankan kajian bagi menaik taraf status Daerah Kecil Tamparuli kepada Daerah Penuh serta seterusnya mewujudkan Majlis Daerah Tamparuli,” katanya.
TAMAT
