JKR Sabah Cadang Kaedah Tampalan Cold-Mix, FMA Tingkat Ketahanan Jalan

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,19 Dis-Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dijangka memperkenalkan kaedah tampalan lubang jalan menggunakan bahan cold-mix serta Fiber Mixed Asphalt (FMA) bagi meningkatkan ketahanan jalan raya di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata ketika ini kerja tampalan masih menggunakan bahan hot-mix yang mempunyai kekangan termasuk keperluan suhu tinggi dan kurang sesuai dilaksanakan semasa musim hujan.

Menurutnya, ujian penggunaan bahan cold-mix mendapati kaedah itu lebih praktikal ketika musim hujan selain sesuai digunakan apabila bekalan hot-mix tidak diperoleh khususnya semasa musim perayaan atau dalam situasi tertentu di lapangan.

Justeru kementeriannya akan mencadangkan penggunaan bahan berkenaan dalam semakan perjanjian konsesi dalam masa terdekat.

Selain itu JKR Sabah turut menjalankan kajian penggunaan Fiber Mixed Asphalt (FMA) bagi memperkukuh lapisan turapan agar lebih tahan terhadap peningkatan bebanan kenderaan.

Sekiranya berjaya bahan tersebut akan diperluaskan penggunaannya bagi kerja penurapan semula dan pembaikan jalan utama di Sabah.

Dr. Joachim menjelaskan kerja tampalan lubang adalah sebahagian daripada penyenggaraan rutin dan keberkesanannya bergantung kepada tahap kerosakan jalan.

Tampalan didapati berkesan bagi jalan dalam kategori baik dan sederhana namun kurang berkesan bagi jalan yang rosak teruk dan amat teruk kerana kerosakan telah melibatkan struktur jalan.

Bagaimanapun beliau berkata kerja tampalan tetap dilaksanakan bagi mengelakkan kerosakan menjadi lebih serius serta mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Dalam perkembangan berkaitan Dr. Joachim memaklumkan sebanyak RM600.69 juta diperuntukkan kepada JKR Sabah dalam bajet tahun hadapan bagi melaksanakan pelbagai program termasuk penyenggaraan jalan negeri, pembinaan dan naik taraf infrastruktur luar bandar, pembaikan cerun dan jambatan serta pembaikan bangunan kerajaan dan sistem lampu jalan.

Share This Article