SANDAKAN 22 Nov– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan kolej TVET bertaraf tinggi bagi memenuhi keperluan pendidikan teknikal dan permintaan industri di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, ketika ini Sabah hanya mempunyai sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kota Kinabalu, manakala 24 GiatMARA di seluruh negeri memerlukan kesinambungan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Kawasan Sandakan dan sekitarnya sangat memerlukan sebuah kolej TVET bertaraf kolej komuniti bagi menampung permintaan pendidikan teknikal.
“Selepas GiatMARA, pelajar perlukan institusi seterusnya, namun pilihan terhad kerana hanya satu IKM sahaja di Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa di Dewan Sibuga Jaya, Batu 8, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penubuhan kolej TVET di Sandakan penting memandangkan daerah itu berdepan kekurangan sektor industri tradisional termasuk perkayuan, sekali gus memerlukan rangsangan ekonomi baharu.
“Pada perkiraan KKDW dan MARA, Sandakan perlu ditawarkan kursus-kursus TVET bagi melahirkan tenaga kerja lebih kompeten. Satu daripada lima penganggur di negara ini datang dari Sabah dan perkara ini mesti diselesaikan,” ujarnya.
Beliau yakin penubuhan kolej tersebut mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif, melebihi kadar gaji minimum yang ditetapkan.
Menjawab mengenai pelaksanaannya, Zahid berkata peruntukan akan dipercepatkan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
“Insya-Allah, selepas PRN17 kita akan segerakan peruntukan untuk dibawa ke sini,” katanya.
TAMAT
