SEMPORNA, 2 Nov — Sebuah mercu tanda keselamatan maritim baharu bernilai RM65.28 juta kini berdiri megah di Pantai Timur Sabah apabila kerajaan menyiapkan Kompleks Zon Maritim Semporna sebuah pusat operasi strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bakal memperkukuh kawalan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Majlis Penyerahan Separa Projek Siap Kompleks Zon Maritim Semporna yang diadakan hari ini menandakan kejayaan penting dalam pembangunan infrastruktur keselamatan negara.
Penyerahan projek dilaksanakan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku pemilik projek dan disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.
Dalam ucapannya Datuk Seri Saifuddin menegaskan bahawa pembinaan kompleks berkenaan membuktikan Sabah tidak pernah dipinggirkan sebaliknya terus menjadi keutamaan kerajaan dalam aspek keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI melalui KDN sentiasa memberikan perhatian dalam memperkukuh keselamatan di seluruh negeri ini,” katanya.
Terletak di Batu 1 Jalan Bubul, Tampi-Tampi Semporna, kompleks tersebut dibangunkan di lokasi strategik berhampiran perairan Filipina dan Indonesia yang dilengkapi pelbagai kemudahan utama termasuk bangunan pentadbiran, bangunan sokongan dan logistik, jeti operasi, marina kapal dan bot, helipad, padang kawad, gelanggang sukan serta kuarters perumahan anggota.
Saifuddin berkata, apabila siap sepenuhnya kompleks itu akan menjadi pusat operasi dan rondaan utama Zon Maritim Semporna selain berfungsi sebagai hab koordinasi keselamatan dan latihan bersama dengan ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kemudahan moden yang disediakan diyakini mampu memperkukuh keselamatan perairan Sabah khususnya di Pantai Timur yang sering berdepan ancaman penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.
Tambah beliau, kewujudan kompleks ini akan membolehkan pasukan Maritim Malaysia bertindak lebih pantas dan efisien terhadap sebarang insiden keselamatan maritim di samping meningkatkan kehadiran aset serta moral anggota di lapangan.
Majlis hari ini turut menandakan kejayaan besar Kerajaan MADANI dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan maritim negara sejajar dengan hasrat memastikan Malaysia terus aman, selamat dan berdaulat.
TAMAT

