LAHAD DATU, 28 Okt – Sebuah bot pam yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu di perairan Pulau Tabawan, Kunak, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata penahanan itu hasil risikan dan operasi bersepadu Ops Pluto Timur 2/2013 serta Ops Tiris 3.0 sekitar jam 4.30 petang di kedudukan 0.45 batu nautika timur laut Kampung Kunak Jaya.
“Sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia dua lelaki dewasa yang berada di atas bot pam terbabit bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah pesisir pantai berhampiran bagi meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 10 kilogram, dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
Bot tersebut juga tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Menurut Dzulfikhar, bot pam terbabit ditunda ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan.
Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
TAMAT

