Maritim Malaysia selamatkan dua individu, tahan vesel langgar syarat lesen

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 12 Okt – Tindakan pantas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menyelamatkan dua individu selepas sebuah bot pam dalam perjalanan pulang ke Jeti Perikanan Lahad Datu, semalam.

Bot pam itu dipercayai terbakar di bahagian enjin ketika dalam perjalanan pulang ke jeti tersebut.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kejadian berlaku ketika aset Maritim Malaysia sedang menuju ke jeti selepas melaksanakan operasi di perairan Telukan sebelum mengesan kepulan asap dan api daripada sebuah bot pam berhampiran.

“Pasukan kami bertindak pantas memberikan bantuan awal bagi mengawal api serta memastikan dua individu di atas bot berkenaan, dikenali sebagai Ishara binti Mansor dan Mizfar, berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal hasil kecekapan anggota di lokasi sebelum bot pam berkenaan diiring bersama sebuah bot tahanan hasil operasi ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, sebuah vesel pukat jerut turut ditahan selepas dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan iaitu pada jarak 0.9 batu nautika di selatan Tanjung Melandong.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 32 tahun bersama dua kru warga tempatan berumur 18 dan 31 tahun. Pemeriksaan lanjut menunjukkan vesel berkenaan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak dibenarkan,” katanya.

Dzulfikhar menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha nelayan yang melanggar syarat lesen, terutama mereka yang beroperasi di kawasan larangan.

“Peraturan jarak operasi ini ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru komuniti maritim menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di 016-930 5727 bagi tindakan segera.

TAMAT

Share This Article