OPERASI MENCARI DUA PELANCONG CHINA DI PULAU MANTANANI DITAMATKAN HARI KE-7

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 12 Okt – Operasi pencarian dua pelancong China yang hilang ketika menginap di Pulau Mantanani dihentikan hari ini.

Pencarian selama tujuh hari itu sejak 6 Oktober lalu itu gagal menemui sebarang petunjuk.

Mangsa dikenali sebagai Yu Xiaopeng, 25, dan Fan Won, 28, dilaporkan menginap di Sutera Mantanani pada 4 Oktober lalu.

Mereka sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya (5 Oktober) namun gagal berbuat demikian dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk dalam kenyataannya berkata operasi SAR dimulakan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kota Belud pada jam 9.25 pagi, 6 Oktober lalu.

“Pasukan bomba bersama Unit Penyelam (PPDA) Zon Kudat dan Kota Kinabalu menjalankan pencarian menggunakan kaedah water surface di persisiran Pulau Mantanani dengan bantuan pelbagai agensi keselamatan lain.

“Setelah tujuh hari pencarian tiada petunjuk baharu ditemui dan operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun operasi SAR rasmi ditamatkan pencarian berkala tetap diteruskan menerusi rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sepanjang operasi, seramai 28 anggota daripada pelbagai agensi terlibat, termasuk 10 anggota BBP Kota Belud, 13 penyelam PPDA Zon Kudat dan Kota Kinabalu, serta pasukan PDRM (52 anggota), APM (15 anggota) dan penduduk kampung.

Operasi diketuai Mohd Hafizrul Junaidi selaku Komander Operasi Kanan, manakala Mohd Razali Ahmad @ Awang Ahmad bertindak sebagai Komander Operasi.

Barang-barang peribadi milik kedua-dua mangsa masih ditemui di dalam bilik penginapan mereka di resort berkenaan.

TAMAT

Share This Article