SANDAKAN, 6 Okt – Kerjasama erat antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai isyarat positif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, khususnya di kawasan Sekong.
Pemangku Ketua Bahagian PBS DUN Sekong, Awang Ahmad Ongkang, berkata PBS menyambut baik kehadiran Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pada Majlis Makan Malam GRS–USNO Sandakan yang diadakan malam Ahad lalu.
Majlis itu turut dihadiri pemimpin masyarakat setempat dan wakil daripada 34 persatuan masyarakat Tionghoa kawasan Sekong dan Sandakan.
“PBS mengalu-alukan penyertaan USNO kerana parti itu mempunyai sejarah politik yang panjang dan penting di kawasan Sekong.
Sebelum era kemasukan UMNO, USNO pernah menjadi antara parti utama yang membentuk kerajaan campuran bersama PBS,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau turut mengimbas sejarah perjuangan politik Sabah yang pernah disatukan di bawah semangat kerjasama parti-parti tempatan, termasuk tokoh seperti Allahyarham Piting Haji Ali, bekas wakil rakyat Sekong yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran PBS–USNO sebelum Pilihan Raya Negeri 1994.
“Itu sejarah yang perlu diingati oleh generasi muda. Perjuangan politik Sabah berasaskan semangat ‘Sabah untuk Sabah’ dan kerjasama antara parti-parti tempatan ini menunjukkan keutuhan perjuangan itu masih hidup,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa gabungan parti-parti komponen dalam GRS perlu terus berpadu dan mengamalkan semangat kebersamaan bagi memastikan kemenangan besar dalam PRN akan datang.
“Dengan semangat ‘rumah kita, kita jaga’, PBS percaya GRS mampu mencapai kejayaan besar di Sekong,” ujarnya.
TAMAT
