HAJIJI TINJAU KESIAPSIAGAAN JENTERA GRS DI BANDAU

sabahheadlines
2 Min Read

BANDAU, 4 Oktober — Kesiapsiagaan jentera parti merupakan kunci utama kemenangan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusi Gagasan Rakyat Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskannya ketika melakukan lawatan ke Bilik Gerakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Bandau hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap, bersama barisan pimpinan dan penyokong parti.

Turut hadir Timbalan Presiden GRS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, dan Naib Presiden PGRS, Datuk Masiung Banah.

Pada majlis itu. Maijol membentangkan laporan persediaan serta strategi gerak kerja jentera GRS Bandau.

Hajiji dalam ucapannya menyeru semua jentera mengekalkan perpaduan dan semangat kerja berpasukan bagi memastikan kemenangan calon GRS di tiga kawasan utama iaitu Bandau, Tandek dan Matunggong.

Beliau berkata kemenangan GRS amat penting untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri serta meneruskan pelaksanaan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan berjaya dilaksanakan hasil kutipan hasil negeri yang kukuh dan pengurusan kewangan berhemah oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menekankan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat melalui pelaksanaan subsidi tambang penerbangan, bantuan tunai RM300, serta pelbagai program sosial lain.

Hajiji menjelaskan kejayaan kerajaan negeri dalam rundingan dengan Petronas yang membolehkan Sabah menikmati bahagian hasil minyak dan gas yang lebih adil.

“Kerajaan negeri akan terus menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sambil mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan pusat demi kestabilan politik dan kemajuan negeri.

“Belum masa kita bergerak solo. Kita perlu bekerjasama dengan kerajaan pusat sambil terus menuntut hak negeri secara berhemah,” katanya.

Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama jentera dan tinjauan operasi Bilik Gerakan GRS Bandau.

TAMAT

Share This Article