Festival Vaganza Etnik & Food Culture 2025 Bukti Komitmen Martabatkan Warisan Budaya

sabahheadlines
2 Min Read

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 30 Sept – Penganjuran Festival Vaganza Etnik & Food Culture 2025 membuktikan komitmen kepimpinan negeri dan masyarakat setempat dalam memartabatkan warisan budaya sebagai tonggak perpaduan rakyat serta pemangkin kemajuan ekonomi Lahad Datu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Segama merangkap Ketua Bahagian PGRS Silam, Datuk Mizma Appehdullah, berkata festival berkenaan menjadi manifestasi terbaik usaha memelihara seni, budaya dan tradisi pelbagai etnik di daerah ini agar terus segar diwarisi generasi akan datang.

“Budaya memberi kita nama, wajah dan identiti. Tanpanya kita umpama pohon yang tumbang, kosong di dalam. Justeru, festival ini penting sebagai medium menghidupkan dan menyuburkan warisan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian di perkarangan Pawagam Lama, di sini pagi tadi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Mizma berkata, penganjuran kali ini bersempena sambutan Hari Malaysia bukan sahaja diserikan dengan persembahan etnik dan makanan tradisi, malah berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi.

“Acara ini turut memberi peluang besar kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) mempromosi produk masing-masing kepada pengunjung dari dalam dan luar daerah, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi rakyat,” jelasnya.

Beliau turut berharap festival seumpama itu dapat dijadikan acara tahunan bagi daerah Lahad Datu, sebagaimana daerah-daerah lain yang mempunyai program kebudayaan masing-masing.

Festival itu juga menampilkan persembahan tarian kebudayaan etnik termasuk pameran komuniti serta penglibatan agensi kerajaan, NGO dan penduduk tempatan yang bersama-sama menjayakan program berteraskan seni budaya dan pelancongan tersebut.

TAMAT

Share This Article