DUN BUBAR PADA OKTOBER?

KOTA KINABALU (21 SEPTEMBER): Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor masih berteka-teki bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar.

Beliau hanya berkata pembubaran itu sebelum tarikh akhir DUN pada November.

“Tempoh Dewan terbubar dengan sendiri pada November, jadi mesti kita adakan sebelum itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bila DUN akan dibubar.

Secara berseloroh, Hajiji berkata “memang tidak lama lagi …sabarlah …tunggu …kalau cuaca terang kita bubarlah …cuaca baik.’

Ditanya jika pembubaran itu dibuat Oktober, ramalan cuaca mengatakan ianya musim hujan, Hajiji berkata ia dikatakan oleh Jabatan Kaji Cuaca “tetapi kitalah yang akan menentukan.”

Pembubaran DUN itu adalah untuk memberikan laluan pilihan raya negeri ke-17 diadakan.

Sebelum ini terdapat desas-desus DUN dibubar pada 9 September kemudian kepada 19 September lalu.

Kini timbul khabar angin mengatakan pembubaran dibuat awal Oktober iaitu pada 3 Oktober.