Oleh: Syarmilah Salleh
TAWAU, 17 Sept – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lemas ketika bermandi-manda di Sungai Balung River Eco Resort, Batu 24 Jalan Apas, di sini ditemui lemas petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.24 petang sebelum panggilan kecemasan diterima oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerusi talian MERS999.
Menurut kenyataan JBPM, sepasukan anggota daripada BBP Tawau yang diketuai PBK I Mohd Yahya bin Abd Fattah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai, dan tiba pada jam 4.25 petang.
“Sebaik tiba, pasukan bomba segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan sungai,” kata kenyataan itu.
Mangsa ditemui pada jam 5.35 petang tadi kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang dalam keadaan tersangkut dicelah batu pada kedalaman tiga kaki.
Operasi SAR dijalankan dengan kekuatan 10 anggota bomba dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dua buah jentera turut digunakan dalam operasi ini, iaitu sebuah jentera FRT dan pacuan empat roda (VIGO).
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.35 petang.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti rekreasi terutama di kawasan sungai, serta mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa
TAMAT
