PERARAKAN DAN CERAMAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAERAH LAHAD DATU MERIAH

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 6 Sept – Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan Program Perarakan dan Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M peringkat Daerah Lahad Datu di Dewan Masyarakat Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Selain orang awam, sambutan itu turut dimeriahkan oleh kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin masyarakat dan NGO.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.61 Segama merangkap Ketua Bahagian PGRS N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah. Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen P.188 Lahad Datu, Dato’ Mohammad Yusof Apdal; ADUN N.62 Silam, Hj. Dumi Pg. Masdal; Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzubaharain Hj. Ismail; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzull serta beberapa pimpinan masyarakat dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya, Firuz Idzualdeen menekankan kepentingan memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui penghayatan al-Quran dan sunnah dalam kehidupan seharian, meskipun berdepan pelbagai cabaran penganjuran.

Sementara itu, Datuk Mizma dalam ucapan perasmian mengingatkan bahawa sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran Baginda SAW, tetapi wajar dijadikan medan mendidik generasi agar menolak kezaliman, menegakkan kebenaran serta meneladani akhlak Rasulullah SAW. Beliau turut menyentuh isu semasa membabitkan kes arwah Zara Qairina, dengan menegaskan kepentingan usaha bersama menghentikan budaya buli dalam masyarakat.

Program turut diserikan dengan tazkirah oleh Ustaz Mohd Yunus Ibrahim yang menekankan hakikat sambutan Maulidur Rasul sebagai manifestasi rasa syukur dan cinta umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW serta keperluan mendalami sirah Baginda sebagai panduan hidup.

Pada majlis itu juga, Hj. Hamid Hj. Khamis, Ketua Anak Negeri DUN N.62 Silam dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1447H/2025M Daerah Lahad Datu.

Sebanyak 40 kontinjen menyertai pertandingan sepanduk sempena sambutan kali ini dengan pemenang utama mengikut kategori antaranya ialah:

Majlis Daerah Lahad Datu (Kategori Agensi Kerajaan Negeri/Persekutuan),

SK St. Steven (Kategori Institusi Pendidikan),

Masjid Nurul Ibadah Teck Guan (Kategori DUN Segama),

Masjid Nurul Aman Jaya (Kategori DUN Silam),

Pertubuhan Amal Ummul Zuyyin (Kontinjen Terbaik),

SK Lahad Datu II (Kontinjen Teramai),

SK Pekan Lahad Datu (Kontinjen Paling Rare),

Putoma Ka Sepagaga dari Kg. Lituh Pulau Batu 3 (Kategori Individu),

serta PUSPANITA (Kategori NGO).

Sambutan berkenaan sekali lagi membuktikan perpaduan masyarakat Islam setempat dalam memperingati kelahiran Rasulullah SAW, di samping menjadi wadah memperkukuh ukhuwwah dan menyuburkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

TAMAT