SAR Hari Kedua: Lelaki Hilang di Muara Sungai Serusup Masih Belum Ditemui

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

TUARAN, 2 Sept – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di muara Sungai Serusup sejak Sabtu lalu memasuki hari kedua hari ini namun mangsa masih belum dijumpai.

Mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34 tahun, dilaporkan tidak pulang selepas keluar memukat ikan pada jam 4.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, bot milik mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan rosak dan terdampar di tebing muara.

“Operasi SAR hari kedua bermula pada jam 10 pagi dengan kekuatan 20 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Kota Kinabalu serta Unit Dron bagi membuat pemantauan dari udara.

“Pencarian turut dibantu agensi lain melibatkan tujuh anggota polis dan 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain menjalankan pencarian di kawasan jeti Kampung Serusup manakala Unit Dron membuat tinjauan di sekitar muara sungai.

Sehingga petang ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi pencarian akan diteruskan dengan perkembangan dikemaskini dari semasa ke semasa.

TAMAT

Share This Article