TPNS PERKUKUH AGENDA PENDIDIKAN INKLUSIF 

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN (Selasa): 19 Ogos – Komitmen Kerajaan Negeri Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam memperkasakan pendidikan diperkukuh melalui penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bertempat di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sabah selaku Timbalan Pengerusi Pelaksana TPNS, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar, Ahli-ahli Jawatankuasa TPNS serta wakil agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

Majlis kali ini menyaksikan seramai 39 orang pelajar cemerlang terdiri daripada 16 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua pelajar Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), 17 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan empat pelajar STPM (Sekolah Luar Bandar) tahun 2024. 

Para penerima menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi pelajar cemerlang SPM, STPM dan MUET, serta RM500 bagi pelajar STPM luar bandar bagi meringankan beban kewangan mereka dalam usaha melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Pada masa yang sama seramai 441 orang mahasiswa golongan B40 menerima Bantuan One-Off yang terdiri daripada 17 mahasiswa Politeknik Sandakan, 143 mahasiswa Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, 35 mahasiswa Kolej Komuniti Sandakan, 51 mahasiswa Kolej Kemahiran TVET Sandakan, 104 mahasiswa Ijazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dua mahasiswa Sarjana, UMS, 86 mahasiswa Open University Malaysia (OUM) Pusat Pengajian Sandakan, dan tiga mahasiswa Institut Pengajian Tinggi sekitar daerah Sandakan.

Dalam majlis yang sama, seramai 50 pelajar turut menerima bantuan cermin mata, serta tiga buah sekolah menerima Bantuan Sekolah Angkat iaitu SK Sungai Manila, Sandakan dan SK Pulau Timbang, Sandakan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM5,000 serta SMK Tongod yang menerima bantuan sebanyak RM10,000.  Sekolah Pondok Miftahussalam, Sandakan menerima bantuan sebanyak RM6,500.

Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin turut menyampaikan Honarorium Tokoh Pelajar Daerah kepada Mohammad Azmir bin Misnani atas pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Dalam majlis itu, turut disampaikan kepada pelajar menerusi beberapa inisiatif sedia ada, termasuk Bantuan Galakan Usaha Sekolah (BAGUS), Skim Umum Kecemerlangan Siswa (SUKSES), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Insentif Siswa Terbaik (BISTARI) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyokong pembangunan modal insan negeri ini.

TPNS merupakan inisiatif proaktif Kerajaan Negeri Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha meringankan beban kewangan golongan keluarga berpendapatan rendah. Ia turut mencerminkan komitmen untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Majlis ini diharap menjadi pemangkin inspirasi kepada para pelajar untuk terus gigih mencapai kecemerlangan, sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing yang mampu menyumbang secara menyeluruh kepada kemajuan negeri.

Tamat

Share This Article