KOTA KINABALU: 16 Ogos- Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa menjadi langkah penting dalam membentuk pemimpin belia sebagai pemangkin perubahan masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Dunia memerlukan idea, tenaga, dan visi anda. Cabaran yang kita hadapi dalam masyarakat menuntut perspektif baharu dan tindakan berani, dan saya yakin setiap daripada anda mempunyai kekuatan serta pandangan unik yang akan menyumbang kepada perbincangan sepanjang beberapa hari ini,” katanya pada majlis perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
“Kita mahu melihat belia terus bangkit menghadapi cabaran kepimpinan, justeru amat penting untuk mengiktiraf dan memupuk potensi mereka.
“Menggalakkan golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam inisiatif komuniti dan latihan kepimpinan adalah penting bagi melahirkan generasi baharu yang bersedia menangani kerumitan dunia moden,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya.
Program yang melibatkan pemimpin belia dari 12 negara Asia Tenggara dan Pasifik ini dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dengan kerjasama Persatuan Islam Seluruh Sabah (Usia) serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk NGO di Sabah.
Ketua Menteri yakin dengan latihan dan bimbingan yang disediakan oleh RISEAP, para peserta mampu muncul sebagai sumber manusia yang berkemampuan dan berwibawa.
“Saya percaya para mentor yang disediakan oleh RISEAP dalam menganjurkan latihan ini akan dapat mencapai objektif yang diinginkan,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada RISEAP di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Patinggi Haji Openg kerana memilih Sabah sebagai tuan rumah Program Latihan Belia Antarabangsa ini.
Tamat
