sh@ Syarmilah Salleh
PAPAR: 27 Julai 2025 – Sebanyak 17 buah rumah musnah dalam satu kebakaran besar di Skim Penempatan Kinarut, Papar malam tadi.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar tiba di lokasi pada jam 11.38 malam, sejauh 18 kilometer dari balai.
Kebakaran melibatkan kawasan seluas 200×200 kaki persegi, meliputi struktur rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal yang terbakar 100 peratus.
Seramai 39 anggota bomba dari beberapa balai terlibat dalam operasi pemadaman termasuk BBP Papar, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran. Operasi diketuai oleh PPgB Rozlan Bin Osman, Ketua Balai BBP Papar.
Operasi pemadaman menggunakan lima pancutan air daripada tiga aliran sepanjang 900 kaki, dengan bantuan water tanker dari BBP Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.
Turut membantu di lokasi ialah PDRM (10 anggota), APM (11 anggota) dan SESB (2 anggota).
Operasi dikawal sepenuhnya pada 12.25 tengah malam dan tamat sepenuhnya pada jam 4.06 pagi.
Menurut Komander Operasi, semua kawasan telah dipastikan selamat dan tiada bahaya susulan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan: PPgB Rozlan Bin Osman, Ketua BBP Papar di talian 013-8976300.
Tamat
