SANDAKAN, 26 Julai 2025 – Cubaan sebuah kapal nelayan menyeludup keluar minyak bersubsidi menemui kegagalan.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan usaha kapal nelayan itu menerusi operasi di perairan Tanjung Papat awal pagi ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi sekitar jam 1.10 pagi itu dijalankan oleh anggota PPM Sandakan ketika melakukan rondaan rutin di kawasan terbabit.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kapal nelayan yang mencurigakan menemukan 32,800 liter minyak diesel dan petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut ditahan, seorang lelaki tempatan dan empat warga asing berusia antara 26 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan lanjut.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1,020,240,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Pihaknya turut menggesa orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram bagi membantu tindakan segera oleh pihak berkuasa.
TAMAT
