KUNAK (21 JULAI): Enam orang termasuk dua kanak-kanak berhadapan saat cemas apabila bot yang mereka naiki alami kebocoran.
Bagaimanapun kesemua mereka berjaya diselamatkan menerusi tindakan pantas Maritim Zon Lahad Datu di perairan Pulau Timbun Mata dekat sini Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata kedua-dua kanak-kanak itu berusia 6 tahun dan 10 tahun diselamatkan bersama ayah mereka, Lajim Paisal yang berusia 37 tahun.
Tiga yang lainnya, Adim Selemu, 42, Asian Mohd Akran, 29 dan Fauzi Saikula, 30, turut diselamatkan.
Bagaimanapun ketiga-tiganya menunggu di lokasi kejadian sementara menunggu bantuan daripada syarikat mereka bagi membaiki kerosakan bot tersebut.
Difahamkan ketiga-tiganya tiba di sini pada jam 2.00 pagi tadi.
Sementara itu, Dzulfikhar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu yang memaklumkan insiden berkenaan.
“Bot fiber berkenaan sedang menghantar bekalan air reverse osmosis (RO) ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila mengalami kebocoran selepas terlanggar kayu hanyut.
“Bot Banggi 45 kemudiannya digerakan ke lokasi kejadian dan segera mengesan mangsa di perairan Pulau Batuk Kunak dengan bantuan pam bot kerana paras air yang cetek,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa ditemui selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Dzulfikhar juga memberitahu, bapa betsama dua anaknya itu telah dibawa ke jeti perikanan Lahad Datu.
Maritim Malaysia dalam masa sama turut menasihati semua pengendali bot agar memastikan jaket keselamatan dipakai setiap kali berada di laut serta memastikan bot dalam keadaan selamat.
“Ia bukan sekadar prosedur operasi standard, tetapi langkah penting bagi mengelakkan kehilangan nyawa sekiranya berlaku sebarang insiden,” tegas Dzulkifli.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kejadian di laut boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi 999 untuk tindakan segera.
TAMAT
