BOT KARAM: SATU HILANG TIGA SELAMAT

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmillah Salleh

KINABATANGAN (20 JULAI): Seorang hilang manakala tiga lagi selamat dalam kejadian bot karam di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Temenggong di sini.

Mangsa Adzly Kassim, 46, bersama tiga yang lainnya, semua lelaki, berada di bot itu sebelum ianya karam tengah hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kinabatangan pada jam 11.49 pagi.

Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 115 kilometer dari balai, dengan kekuatan sebuah jentera pacuan empat roda (Hilux).

Komander Operasi, PBK II Jerry John, berkata siasatan awal mendapati bot berkenaan dinaiki empat lelaki sebelum karam di sungai tersebut.

“Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dikenali sebagai Adzly Bin Kassim, 46 tahun, masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan bot penduduk kampung secara teknik pencarian permukaan (surface searching) di sekitar kawasan bot karam.

Sehingga jam 5.30 petang, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan serta akan disambung esok.

Turut membantu dalam operasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kira-kira 20 orang awam.

Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ketua Balai BBP Kinabatangan, PPgB Hairi Bin Otuh di talian 017-8616619.

TAMAT

Share This Article