SEORANG MAUT, 13 CEDERA APABILA KERETA YANG MEREKA NAIKI TERJATUH KE GAUNG

sh@ Syamilah Salleh

LAHAD DATU (16 JULAI): Seorang wanita maut dan 13 yang lain cedera apabila kereta yang dinaiki terjunam ke dalam gaung awal pagi ini.

Wanita, 33, disahkan meninggal di tempat kejadian di Ladang Permai di sini.

Kemalangan yang berlaku sekitar jam 5.53 pagi itu melibatkan keseluruhan 15 mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tujuh wanita dewasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Bin Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai sebelum enam anggota bersama satu jentera LFRT digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer.

“Setibanya di lokasi pada jam 6.08 pagi, didapati kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan kami kemudian bertindak membantu mengangkat kesemua mangsa naik semula ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, seorang mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Seramai 13 mangsa lain mengalami kecederaan, manakala seorang mangsa dipercayai pemandu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua yang tercedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Operasi yang diketuai Komander Operasi PB Yusuf bin Kassim itu turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi setelah keadaan disahkan selamat.

TAMAT