KERAJAAN NEGERI BERI PERUNTUKAN RM11.6 JUTA KEPADA YUM tahun ini

sh@ editor

TUARAN: 5 Julai – Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro yang bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, katanya YUM turut menerima peruntukan geran sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman, selain geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya.

Berucap sempena Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini, Ketua Menteri berharap agar para peminjam YUM dapat melunaskan pinjaman mereka tepat pada masanya supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat daripada program tersebut.

“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM dengan baik bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan agensi ini meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup kerana mempunyai modal pusingan pinjaman yang mencukupi.

“Dalam masa yang sama, ahli-ahli YUM juga hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang disediakan termasuk oleh agensi lain, berinovasi dan menggunakan teknologi terkini serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.

YUM merupakan sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan.

“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi salah satu agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Ketua Menteri berkata YUM telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM805.25 juta melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam, dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman aktif.

“Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat membanggakan dengan kadar bayaran balik kumulatif melebihi 96 peratus. Ini menunjukkan bahawa peminjam yang kesemuanya wanita merupakan pembayar yang baik atau good paymaster,” ujarnya.

Sementara itu, hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di bawah paras garis kemiskinan telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi garis tersebut.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya

“Saya berharap Yayasan Usaha Maju akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang tahun ini,” katanya.

Tamat