MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG BATU PUTIH MENERIMA BANTUAN DI BAWAH PROGRAM “PERIHATIN CAHAYA”

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Jalie Muhamad

SANDAKAN, 19 Jun – Satu inisiatif bantuan prihatin bertemakan “Prihatin Cahaya” telah dilaksanakan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Batu Putih, Sandakan.

Program ini direalisasikan melalui kerjasama erat pelbagai agensi dan pertubuhan, termasuk Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Batu Putih.

Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Dianah Abdullah, memaklumkan bahawa beliau telah menyampaikan sumbangan bantuan kepada 35 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran, sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“YKS sebagai badan di bawah kerajaan GRS terus komited melaksanakan pelbagai program kebajikan di seluruh negeri Sabah, termasuk di Semenanjung dan luar negara, demi meringankan beban rakyat yang memerlukan,” ujar Datuk Dianah.

Sumbangan disalurkan oleh YKS dengan kerjasama Cahaya Society, sebagai usaha membantu penduduk yang terjejas akibat tragedi tersebut. Bantuan ini merangkumi keperluan asas harian, peralatan rumah serta sokongan moral bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu.

Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh YB Senator Puan Anna Bell Haji Perian, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan para mangsa serta menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Dalam ucapannya, YB Senator menyatakan penghargaan kepada YKS dan semua pihak terlibat dalam menjayakan program ini.

“Program ini melambangkan solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Sabah dalam membantu sesama insan yang ditimpa musibah. Saya berharap bantuan yangdisampaikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para mangsa,” katanya.

Program ini turut memperlihatkan semangat jitu kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat dalam memastikan bantuan disalurkan dengan pantas, menyeluruh dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.

Tamat

Share This Article