OLEH: JALIE MOHAMAD
SANDAKAN: 3 Mei – Jabatan Hidupan Liar disini memperhebatkan usaha membenteras pemburuan haram terhadap habitat haiwan tenggiling.
Tenggiling yang merupakan mamalia unik yang semakin terancam akibat pemburuan haram dan kemusnahan habitat,akan diberikan perhatian sempena sambutan Hari Kesedaran Tenggiling yang diadakan di Perpustakaan Cawangan Sandakan pagi tadi.
Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussien Muin berkata, tenggiling dikategorikan dalam Jadual 1 sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya mengikut perundangan hidupan liar negeri.
“Melindungi tenggiling secara tidak langsung bermaksud kita juga melindungi habitatnya. Jika habitat terganggu, maka populasi tenggiling turut terjejas. Kesedaran tentang kepentingan spesis ini harus dipupuk dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa sidang media selepas majlis perasmian sambutan berkenaan
Menurutnya, kepercayaan lama, permintaan pasaran gelap dan kurangnya kesedaran masyarakat menjadi cabaran utama dalam usaha pemuliharaan haiwan ini.
Program anjuran bersama Pangolin Aware dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menghimpunkan agensi kerajaan, NGO, pendidik dan pelajar dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah, kuiz interaktif, pameran, sesi bercerita dan pertandingan mewarna.
Hussien turut menggesa masyarakat agar melaporkan sebarang penemuan tenggiling kepada pihak berkuasa agar spesies itu dapat dilindungi dengan sewajarnya.
Hari Kesedaran Tenggiling Sedunia disambut setiap tahun pada hari Sabtu minggu ketiga bulan Februari sebagai usaha global meningkatkan kesedaran terhadap ancaman yang dihadapi spesies ini.
Tamat
