LELAKI 63 TAHUN MAUT DIGILIS KERETA API DI TENOM

sabahheadlines
2 Min Read

TENOM, 25 November – Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas troli kayu buatan sendiri yang dinaikinya dipercayai digilis sebuah kereta api dalam kejadian di Jalan Kereta Api, Tenom, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, mangsa dilaporkan berada di bawah gerabak kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.

Menurut maklumat awal, mangsa dipercayai menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk melalui landasan kereta api dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom selepas selesai menjalankan aktiviti berkebun.

Mangsa yang dilaporkan mempunyai masalah pendengaran ditemukan tersepit di bawah gerabak sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom pada jam 1.20 tengah hari sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba tiba pada jam 1.32 tengah hari dan menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum dipindahkan ke tempat selamat.

Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat turut berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi kejadian terhad dan tidak dapat diakses menggunakan jentera bomba.

Pasukan penyelamat terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung menggunakan troli bermotor buatan sendiri bagi meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain.

Share This Article