KOTA KINABALU, 18 November – Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua kedudukan naib johan dan tempat kelima sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi JBPM Tahun 2026.
Dalam pertandingan itu, Pasukan Aquarapid Innovation dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau meraih naib johan bagi Kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Hybrid.
Sementara itu Pasukan Sinurambi dari BBP Tambunan turut memperoleh naib johan dalam Kategori Inovasi manakala Pasukan Zon Keningau menduduki tempat kelima bagi Kategori Tangan Emas (Golden Hand).
Pencapaian itu membuktikan komitmen, kreativiti dan semangat kerja berpasukan warga JBPM Sabah dalam menghasilkan idea serta penyelesaian inovatif yang mampu memberi nilai tambah kepada organisasi.
Kejayaan berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan jabatan dalam memperkukuh budaya inovasi dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
JBPM Sabah turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli pasukan, pegawai pembimbing, urus setia serta seluruh warga jabatan yang memberikan sokongan dan dorongan sepanjang persediaan serta penyertaan pertandingan itu.
Walaupun belum berjaya meraih kedudukan tertinggi, pencapaian berkenaan disifatkan sebagai kejayaan bermakna dan pemangkin kepada usaha melahirkan lebih banyak idea kreatif serta inovasi pada masa hadapan.
