11 LELAKI DITAHAN SUSULAN PERGADUHAN DI PASAR BANDAR RAMAI-RAMAI

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN,17 November – Seramai 11 lelaki berusia antara 15 hingga 46 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di kawasan Pasar Bandar Ramai-Ramai, Sandakan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George bin Abd. Rakman berkata, kesemua suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina yang ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi talian kecemasan NG999 kira-kira jam 7.36 malam tadi yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam.

Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam pada hari sama sebelum kembali tercetus pada sebelah malam.

Kejadian itu turut dirakam dan videonya kemudian tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Orang ramai juga diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan video tular itu bagi mengelakkan salah faham serta tidak menjejaskan siasatan polis.

Share This Article