KEBAKARAN 30 RUMAH DI TAWAU, KANAK-KANAK OKU DITEMUI RENTUNG

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 4 November 2026 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) disahkan meninggal dunia selepas ditemukan rentung dalam kebakaran besar membabitkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini pagi tadi.

Mangsa yang dilaporkan mempunyai autisme ditemukan pasukan bomba di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi ketika operasi pemadaman dan pemeriksaan dijalankan.

Mayat mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 6.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi tiga minit kemudian.

Pasukan bomba mendapati kebakaran pada awalnya membabitkan enam rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal namun api merebak dengan cepat sebelum memusnahkan keseluruhan 30 rumah.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 8 pagi dengan anggaran keluasan keseluruhan kawasan terbakar 557 x 196 kaki persegi.

Bagaimanapun, sebanyak 250 rumah berjaya diselamatkan daripada turut dijilat api manakala sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil turut musnah sepenuhnya.

Operasi melibatkan kekuatan keseluruhan 48 anggota bomba dengan bantuan pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.

Selepas penemuan mangsa, pasukan bomba meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya.

Share This Article