LAHAD DATU, 3 November – Beberapa laluan utama di daerah ini akan ditutup sementara dan dilencongkan pada 4 November ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Program Latih Amal Bencana Tsunami (TTX dan FTX) Zon Lahad Datu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam kenyataan medianya memaklumkan penutupan jalan itu akan berkuat kuasa dari jam 9 pagi hingga 2 petang melibatkan beberapa kawasan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan latihan berkenaan.
Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Lahad Datu-Tawau, bermula dari lampu isyarat Kem Askar hingga ke lampu isyarat SMC Lahad Datu, melibatkan kedua-dua arah.
Penutupan turut membabitkan Lorong Perdana 5, Lorong Perdana 6 dan Lorong Perdana 7 di Bandar Sri Perdana, iaitu laluan menuju ke My Inn Hotel.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari pusat bandar yang ingin menuju ke Jalan Lahad Datu-Tawau dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Lahad Datu-Sandakan dari lampu isyarat Airport Lahad Datu menuju ke Jalan Assam atau menggunakan Jalan Lahad Datu Bypass.
Laluan lencongan khas dari arah lampu isyarat SMC turut disediakan bagi memudahkan pergerakan penduduk Bandar Sri Perdana menuju ke pusat bandar dan kawasan sekitarnya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan jalan.
Beliau turut meminta kerjasama pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas di lapangan demi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik sepanjang program berlangsung.
Latihan berkenaan melibatkan beberapa lokasi utama termasuk Kampung Telisai, Tungku, My Inn Hotel dan Teluk Darvel.
